DASAR DADAH NEGARA

DASAR DADAH NEGARA

Dasar dadah negara ialah untuk mewujudkan negara Malaysia yang bebas dari ancaman gejala dadah menjelang tahun 2015 bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dan mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional

Objektif Dasar Dadah Negara

Objektif Dasar dadah Negara ialah untuk menghapuskan bekalan (supply) dadah dan menghapuskan permintaan (demand) kepada dadah sehingga mewujudkan2:
a) Keluarga Bebas Dadah
b) Sekolah Bebas Dadah
c) Tempat Kerja Bebas Dadah
d) Kawasan Bebas Dadah

Strategi Dasar Dadah Negara

Dasar Dadah Negara dilaksanakan melalui empat (4) strategi teras seperti berikut:

Strategi Penguatkuasaan Undang-undang

 
Penguatkuasaan undang-undang dadah secara tegas bertujuan menyekat kemasukan dadah dari luar negara, menghapuskan pengedar, pembekal dan pengusaha makmal dadah haram, menangkap penagih dan melaksanakan pendakwaan ke atas pesalah-pesalah dadah di bawah Akta-akta yang berkuatkuasa seperti berikut:


i. Akta Dadah Berbahaya 1952;
ii. Akta Racun 1952;
iii. Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983;
iv. Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985;
v. Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988; dan
vi. Akta Penggubalan Wang Haram 2001.

Strategi Pencegahan, Pendidikan dan Publisiti

 
Pencegahan, pendidikan dan publisiti merupakan kempen perangsaraf jangka panjang bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat Malaysia tentang bahaya ancaman dadah di samping menerapkan kemahiran bertindak (coping skills) di kalangan rakyat untuk menolak dan menjauhi dadah.

Strategi Rawatan dan Pemulihan

 
Usaha rawatan dan pemulihan bertujuan memutuskan pergantungan seseorang penagih kepada dadah dan mencegah penagihan semula. Strategi ini dilaksanakan menerusi pendekatan seperti berikut.
i. Menyediakan program rawatan dan pemulihan yang bersepadu dan menyeluruh dalam institusi dan dalam komuniti;
ii. Menggalakkan pembangunan program rawatan dan pemulihan alternatif melibatkan pusat pemulihan dadah persendirian dan klinik perubatan swasta.

Strategi Kerjasama Antarabangsa

 
Pengeluaran dan pengedaran dadah mempunyai dimensi antarabangsa. Usaha-usaha negara membanteras gejala dadah di peringkat antarabangsa adalah melalui strategi berikut7:
i. Memupuk kerjasama rapat dalam usaha pengawalan dan pencegahan dadah di kalangan negara-negara di peringkat antarabangsa; dan
ii. Memperhebatkan usaha negara dalam pengawalan dan pencegahan dadah di peringkat antarabangsa.